Antara ICERD, Rakyat Malaysia dan Tun Mahathir



Bismillahirrahmanirahim,

Sebelum teruskan bacaan, fahami dahulu maksud terma-terma ini

1- Orang Kafir - Adalah 'orang yang bukan Islam'. Kafir bukanlah bermaksud penjenayah atau orang jahat, ia hanya bermaksud 'Orang bukan Islam'. Agama Islam juga menyuruh kita berbuat baik pada orang kafir yang baik (Kafir Zimmi).

2- ICERD -  adalah singkatan kepada International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination atau Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum. Dalam konvensyen ini, istilah 'diskriminasi kaum' bermaksud sebarang perbezaan, pengecualian, sekatan atau keutamaan berdasarkan bangsa, warna, keturunan, atau asal-usul kebangsaan atau etnik yang mempunyai maksud atau kesan membatalkan atau merosakkan pengktirafan, penikmatan dan penggunaan, atas asas yang sama, hak asasi manusia.

Persoalan yang timbul berkenaan ICERD,

1- Mengapa org Islam tidak mahu menerima ICERD sedangkan ICERD didakwa oleh sesetengah pihak sebagai selari dengan ajaran Islam malah disokong oleh sebahagian Agamawan di Malaysia?

Penjelasan:

Pertamanya, ICERD memperjuangkan kesama-rataan (equality) mengikut acuan yang dikehendaki oleh PBB, sedangkan Islam pula menyuruh umatnya berlaku adil. Adil dan sama-rata adalah dua perkara yang berbeza. Adil bermaksud meletakkan sesuatu pada tempat yang betul. Manakala, Sama-rata (equality) dari segi makna istilah, merujuk kepada semua (kumpulan) manusia tanpa mengira perbezaan (Agama, bangsa, keupayaan, jantina, idelogi, warna kulit, dan lain-lain) untuk mendapatkan hak, status, dan peluang yang sama (equal) sepertimana yang dimiliki oleh sebahagian (kumpulan) yang lain.

Cambridge Dictionary
Equality - The right of different groups of people to have a similar social position and receive the same treatment
Oxford Dictionary
Equality - The state of being equal, especially in status, rights, or opportunities

Sebagai contoh, jika manusia normal diberikan hak berpasangan antara lelaki dan perempuan, maka pasangan Lesbian atau Gay juga wajar diberikan hak sama-rata (equal) seperti yang termaktub dalam prinsip sama-rata dan hak asasi manusia. Sebab itulah prinsip kesama-rataan ataupun mana-mana konvensyen yang memperjuangkan kesama-rataan bercanggah dengan prinsip Islam, kerana Islam menuntut pada keadilan, bukan kesama-rataan.

Sebagai contoh yang lain, adakah wajar bangsa Jepun yang menetap di China mendapatkan hak keistimewaan sama seperti rakyat pribumi di China? Adakah wajar bangsa Israel diberikan hak untuk menjadi Presiden di Negara Indonesia? Jawapannya sudah tentu tidak. Walaupun ianya sesuai dengan prinsip kesama-rataan, tapi ianya bercanggah dengan prinsip keadilan dalam Islam.

Contoh yang paling ringkas boleh saya berikan adalah, wajarkah seorang tetamu mendapatkan hak yang sama-rata dengan tuan rumah apabila mereka berkunjung di sesebuah rumah? Contohnya tidur dibilik tidur utama tanpa keizinan? Sudah tentu tidak. Kerana prinsip sama-rata yang dicipta oleh barat bertentangan dengan prinsip keadilan yang diajarkan oleh Allah dan Rasulullah S.A.W.

Saya berikan dua situasi:

1- Anda mempunyai anak sulung berusia 16 tahun dan anak bongsu berusia 8 tahun. Mengikut prinsip sama-rata anda perlu beri makanan yang sama banyak kepada keduanya, tetapi menurut keadilan dalam Islam, anda perlu memberikan makanan yang mencukupi untuk keduanya, bermakna kandungan bilangan yang sesuai dengan keperluan kedua-dua anak anda.

2- Disebuah Negara A, mempunyai 2 kaum. Kaum X dan kaum Y. Kaum X merangkumi 70% dan kaum Y merangkumi 30% membentuk penduduk Negara A. Menurut prinsip sama-rata, kaum X dan kaum Y mesti diberikan kuota peluang 50-50 bagi pekerjaan. Tetapi jika menurut keadilan Islam, kaum X dan Y hendaklah diberikan kuota peluang 70-30, sesuai dengan bilangan kaum masing dalam Negara A.

Anda sendiri mampu menilai bahawa prinsip keadilan Islam berbeza dengan prinsip kesama-rataan oleh Barat (PBB).

2- Salahkah orang kafir (Orang bukan Islam) ingin meraktifikasi ICERD di Negara Malaysia untuk menghentikan diskriminasi?

Penjelasan:

Sepanjang saya (dan anda) hidup dengan aman dan harmoni di Negara Malaysia tercinta ini, belum pernah lagi umat Islam mahupun kerajaan yang dipimpin oleh Umat Islam menindas kaum minoriti, seperti yang dilakukan oleh kaum majoriti di China, Israel, Myanmar.

Malah, kaum minoriti di Malaysia telah diberikan hak untuk mengundi, dan menjadi pemimpin-pemimpin tertinggi dalam Negara. Belum pernah berlaku dalam sejarah Tamadun manusia, kaum majoriti di China melantik Orang Melayu, atau bangsa-bangsa selain dari bangsa Cina untuk menjadi pemimpin tertinggi di negara tersebut. Malaysia adalah satu-satunya Negara di Dunia yang melantik kaum minoriti memegang jawatan-jawatan tinggi dalam Negara.

Maka, dakwaan bahawa Umat Islam menindas kaum minoriti adalah tidak tepat kerana kita sama-sama telah hidup aman selama lebih 60 tahun.

3- Mereka (Penyokong ICERD) mendakwa bahawa ICERD adalah selari dengan perlembagaan, jadi kenapa bantah?

Penjelasan:

Jika mereka mendakwa bahawa ICERD ini selari dengan perlembagaan, jadi apa perlunya untuk meraktifikasi ICERD, kerana kita telah mempunyai perlembagaan yang mereka sendiri dakwa selari dengan ICERD.

4- Islam kan Rahmatal Lil 'Alamin. Jadi, kenapa bantah ICERD?

Penjelasan:

Maksud Islam Rahmatal Lil 'Alamin (Islam sebagai Rahmat keseluruh alam) yang sebenar ialah Allah memberi Rahmat (belas kasihan melalui syariat-Nya) pada sekalian makluk di Alam ini. Bukannya bermaksud umat Islam perlu sama-ratakan hak mereka dengan orang kafir. Ini pentafsiran yang salah berkenaan maksud Rahmatal Lil 'Alamin.

Definisi 'Islam Rahmat kesekalian Alam' dari segi amalan pula adalah, umat Islam perlu bersikap adil pada semua manusia (tanpa mengira kaum/Agama) berpandukan syariat Islam. Sedangkan, sama-rata pula adalah konsep yang bertentangan dengan keadilan Islam.

Firman ALLAH SWT: “Kami tidak mengutus engkau, wahai Muhammad, melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam.” (Surah al-Anbiyaa’: 107)

Allah mengutuskan Rasulullah S.A.W. bukanlah sebagai pemberi harta, rezeki, atau hujan. Tetapi, Allah mengutuskan Rasulullah S.A.W. sebagai Rasul yang mengajar dan memimpin manusia dengan undang-undang Syariat Allah.

5- Sekarang zaman persaingan, Orang Melayu perlu tunduk pada kehendak global.

Penjelasan:

Bukan hari ini sahaja zaman persaingan, malah persaingan telah wujud sejak zaman dahulu lagi. Persaingan dari segi perniagaan, ekonomi, ilmu pengetahuan dan sebagainya. Berbalik kepada jawapan persoalan pertama, tuntutan ICERD ini sendiri bercanggah dengan prinsip Islam yang diajarkan oleh Rasulullah S.A.W. kepada kita. Jadi, dimana logiknya kita menggunakan alasan persaingan demi untuk melanggar prinsip Islam yang kita pegang dan beriman selama ini?

6- ICERD tidak mampu menggugat Perlembagaan Negara Perkara 153. Jadi, kenapa Umat Islam takut?

Penjelasan:

Di Singapura, perlembagaan mereka Perkara 152 menyebut kawajipan Kerajaan Singapura untuk menjaga hak keistimewaan kaum Melayu. Akan tetapi kita sedia maklum bahawa Orang-orang Melayu di Singapura tidak diberikan hak keistimewaan yang sepatutnya, malah keistimewaan (special privileges) diberikan pada kaum Cina di Singapura.

Perkara 153A, kurungan (2) Perlembagaan Singapura berbunyi, "The national language shall be the Malay language and shall be in the Roman script". Akan tetapi urusan kerajaan tidak digunakan dalam Bahasa Kebangsaan mereka (Melayu)

Maka, kita telah mempelajari bahawa sesebuah kerajaan jika didominasi oleh orang bukan Bumiputera, mereka boleh untuk melanggar hak keistimewaan Bumiputera sepertimana yang termaktub dalam perlembagaan tanpa perlu mengubah perlembagaan pun. Bayangkan jika ICERD diraktifikasi, maka mereka akan mendapat sokongan yang kuat dari PBB untuk melanggar Hak Keistimewaan Bumiputera yang termaktub dalam perlembagaan Negara.

Tambahan pula, mereka boleh mengadu pada PBB mendakwa Perlembagaan Negara bertentangan dengan prinsip ICERD. Kita semua maklum bahawa polis Dunia pada hari ini adalah Amerika dan Israel. Mereka sanggup lakukan perkara yang tidak baik keatas Negara umat Islam jika mereka mempunyai peluang.

Malah, Artikel 5 dalam Konvensyen ICERD akan membuka ruang pada pihak dalam dan pihak luar untuk membuat aduan pada PBB dan mempersoalkan kedudukan Islam sebagai Agama Rasmi Negara kita.

Perlembagaan Singapura perkara 152
 Kurungan (1)  It shall be the responsibility of the Government constantly to care for the interests of the racial and religious minorities in Singapore.
 Kurungan (2)  The Government shall exercise its functions in such manner as to recognise the special position of the Malays, who are the indigenous people of Singapore, and accordingly it shall be the responsibility of the Government to protect, safeguard, support, foster and promote their political, educational, religious, economic, social and cultural interests and the Malay language.

7- Orang Kafir menggunakan ICERD kerana mahukan jaminan agar mereka tidak dizalimi. Salahkah?

Penjelasan:

Sebenarnya, ICERD tidak mampu memberi jaminan keadilan pada mana-mana kumpulan atau individu, kerana prinsip ICERD ialah sama-rata, dan bukannya keadilan. Selama 60 tahun Islam merupakan Agama persekutuan Negara, Islam telah terbukti berkesan dalam memberi jaminan keadilan dan keamanan untuk semua manusia tanpa mengira kaum dan Agama. Sejak zaman Nabi Adam AS., Nabi Muhammad S.A.W., Khalifah, dan hinggalah zaman ini, belum pernah lagi Agama Islam menyuruh umatnya menindas atau menzalimi kaum dan penganut Agama yang berbeza.

Malah, Islam menyuruh umatnya berlaku adil, dan saling kenal-mengenal antara satu sama lain. Kepada masyarakat bukan Islam, bacalah sejarah. Telah terbukti hanya Islam sahaja yang mampu menjaga keadilan, bukannya ICERD, Yahudi, mahupun idelogi-idelogi Barat atau Timur.

Allah berfirman,
"Hai manusia, Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal.” 
(al-Hujuraat: 13)

8- 'Ketuanan Melayu' merupakan perjuangan yang zalim dan perkauman. Apa komen Afif?

Penjelasan:

Jika 'Ketuanan Melayu' tersebut bermaksud membenci dan memusuhi kaum-kaum lain dan menyerang mereka tanpa sebab yang munasabah, maka 'Ketuanan Melayu' itu sesuatu yang bercanggah dengan ajaran Islam.

Tetapi, jika 'Ketuanan Melayu' yang dimaksudkan tersebut sekadar mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu (yang termaktub dalam perlembagaan), dan juga mengiktiraf Orang Melayu sebagai tuan (penduduk asal) di tanah Melayu, sama seperti Org Cina sebagai tuan tanah di China, orang Russia sebagai tuan tanah di Russia, maka 'ketuanan Melayu' itu sesuatu yang selari dengan pembentukkan Negara kita.

Ketika pembentukan Negara Persekutuan Tanah Melayu dahulu, rakyat Malaysia telah menandatangani Kontrak Sosial dimana nenek-moyang Orang-orang Cina dan India berjanji untuk iktiraf orang Melayu sebagai tuan rumah (di Tanah Melayu) dan tidak akan sesekali mempersoalkan hak keistimewaan Orang-orang Melayu dan Sultan Melayu.

Orang-orang Melayu sangat berharap agar Orang bukan Melayu boleh mentaati perjanjian nenek-moyang mereka, sepertimana nenek-moyang orang-orang Melayu telah memberi mereka tinggal di Tanah Melayu dengan aman dan sentosa.


9 - Sebahagian pihak mendakwa bahawa Perlembagaan Negara Perkara 153 adalah perkauman dan kejam. Adakah benar Perlembagaan Negara kita ini kejam?

Penjelasan:

Perlembagaan Negara, Perkara 153(1)
“Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.”

Maksudnya, YDP Agong bertanggungjawab menjaga hak keistimewaan Orang-orang Melayu, kaum Bumiputera Sabah dan Sarawak, dan menjaga hak kaum-kaum lain (Cina, India, Sikh, dan lain-lain..) yang sah disisi perlembagaan.

Perlembagaan Negara, Perkara 8 (1)
"Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang."

Kita sendiri dapat membaca dan menilai sendiri bahawa perlembagaan Negara kita cukup adil dalam menjaga hak semua rakyat tanpa mengira kaum dan Agama. Maka, hormatilah undang-undang dan perlembagaan Negara, dan janganlah kita menghina dan menfitnah Perlembagan Negara kita sendiri dengan tuduhan yang jahat dan bersifat menghasut.

Jadilah rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dan menyayangi Negara sendiri. Janganlah kita menjadi rakyat yang menjatuhkan dan mengkhianati Negara sendiri.


10- Banyak Negara-Negara Arab meraktifikasi ICERD. Kenapa umat Islam di Malaysia tak mahu ikuti Arab?

Penjelasan:

Pertama, kami umat Islam diperintahkan oleh Allah untuk mengikut ajaran dan petunjuk Islam, bukan petunjuk Arab, Iran, Melayu, atau mana-mana bangsa.

Kedua, situasi politik di Negara Arab berbeza dengan situasi politik di Malaysia. Di Negara Arab, umat Islam merupakan suara majoriti dan mendominasi ( kira-kira 90%) urusan pentadbiran Negara. Manakala di Malaysia, suara dan pengaruh politik umat Islam tidaklah sampai ke tahap 90% dalam politik Negara. Orang-orang Islam hanyalah kira-kira 60% nisbah dari keseluruhan populasi rakyat Malaysia, dan itu belum lagi dipecahkan kepada beberapa kumpulan (sebagai contoh; fahaman politik).

Di Malaysia juga, terdapat banyak suara, kumpulan dan organisasi yang memperjuangkan kesama-rataan (antara kaum, Agama dan idelogi). Sedangkan Islam (di Malaysia) dan hak-haknya tidak boleh diletakkan sama taraf dengan Agama lain seperti Yahudi, Kristian, Buddha dan lain-lain.

Jika kita melihat realiti politik hari ini, bilangan suara/pengaruh orang bukan Islam yang diukur dari bilangan nisbah kerusi di Parlimen bagi pihak yang memerintah, adalah lebih besar dan berpengaruh berbanding suara politik orang Islam. Ini belum lagi dicampur dengan ahli parlimen dan ahli politik Islam yang mempunyai kecenderungan terhadap kepentingan Agama/kaum lain dan yang berpegang dengan kesama-rataan.

Maka, amatlah tidak wajar jika umat Islam sengaja meletakkan hak Agamanya di lembah risiko tanpa sebarang alasan yang munasabah. Ibarat seolah-olah anda sengaja meletakkan bayi kesayangan anda di tepi tebing curam tanpa sebab yang munasabah.

Soalan saya, mengapa anda ungkit Negara Arab dalam isu ICERD, tetapi bila umat Islam mahu laksanakan Undang-undang Agama Islam, anda tidak pula mahu ikut Negara Arab, pandai pula anda menuduh Negara Arab kolot, pengganas, dan terkebelakang. Jujurlah dengan diri sendiri.


11- Tajuk Artikel ini menyebut nama Tun Mahathir, tetapi dimanakah Mahathir dalam jawapan-jawapan yang diberikan?

Penjelasan:

Baiklah, saya sebutkan nama beliau untuk persoalan ini. Jika anda melihat, Tun Mahathir seorang yang berpolitik atau membuat keputusan politik berdasarkan 'political mileage' atau 'political survival'. Ketika Pakatan Harapan menang besar PRU-14 tempoh hari, kita melihat Tun hanya bersetuju dengan setiap yang dicadangkan oleh DAP, seperti pelantikan Peguam Negara sebagai contoh.

Tetapi, apabila Tun Mahathir melihat Himpunan Kebangkitan Umat Islam baru-baru ini di Dataran Merdeka, beliau (Tun Mahathir) mula berani untuk berpihak pada orang-orang Melayu dalam sesetengah perkara, contohnya penolakan pilihanraya PBT dan penolakan peraktifikasian ICERD.

Walaubagaimanapun, admin melihat masih ramai orang-orang Melayu yang kritik dan merendahkan kaumnya sendiri, malah mereka sering menyebelahi perkara-perkara yang menguntungkan Orang bukan Islam. Yang terbaru, apabila seorang penulis kartun di halaman 'Page Facebook' J** P*********s membuat kartun yang menghina Syariat Perkahwinan dalam Islam, rata-rata orang-orang Melayu menyokong tindakan menghina Syariat Islam tersebut dan menganggapnya sebagai perkara kreatif dan lucu.

Jika trend seperti ini berterusan, maka mungkin Tun Mahathir tidak lagi mampu untuk menyebelahi orang-orang Islam dan Melayu, kerana beliau sendiri akan melihat Orang-orang Melayu terus menyerang kaum dan Agamanya sendiri.


Akhir kata

Admin berharap, orang-orang Melayu, Cina, India dan semua kaum dapat terus hidup dengan Aman dan berkasih-sayang. Orang Melayu mesti hormati hak orang Cina, India dan lain-lain, sepertimana orang Cina, India dan lain-lain juga mesti menghormati hak orang-orang Melayu. Kita hidup hendaklah saling hormat menghormati.



Penulis merupakan seorang 'Application and Software Engineer' yang berkelulusan BA (Hons.) in Information and Technology.




Sumber

Maksud Kesama-rataan (equal), Cambridge - https://dictionary.cambridge.org/dictionary/english/equality

Maksud Kesama-rataan (equal), Oxford - https://en.oxforddictionaries.com/definition/equality

United Nations, Human Rights - https://www.ohchr.org/en/hrbodies/cerd/pages/cerdindex.aspx

Constitution of the Republic of Singapore - https://sso.agc.gov.sg/Act/CONS1963?ValidDate=20170401&ProvIds=P1XIII-

Perlembagaan Persekutuan - http://www.kptg.gov.my/sites/default/files/article/perlembagaanpersekutuan.pdf

Perlembagaan Persekutuan, versi BI - http://www.agc.gov.my/agcportal/uploads/files/Publications/FC/Federal%20Consti%20(BI%20text).pdf

Comments

  1. Sangat berilmiah. Terima Kasih. Harap rakyat Malaysia memahami.

    teruskan menulis

    ReplyDelete

Post a Comment

Follow saya di:

Facebook: https://facebook.com/afif.cakka
Twitter: https://twitter.com/afif_software
Instagram: https://instagram.com/afif_software

Komen adalah di bawah tanggungjawab masing-masing

Halaman Facebook

Boleh Follow kami di Facebook dibawah untuk dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru dari blog ini: